Monday, March 22, 2010

PDRM juara Piala Emas Khir Johari

PASUKAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) muncul juara pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari Ke-47 semalam.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Gimnasium II, Majlis Sukan Negara (MSN), di Bukit Jalil itu, PDRM yang membariskan pemain berpengalaman mencatat kemenangan 2-1 ke atas Selangor.
Percaturan PDRM yang menurun pemain-pemain kebangsaan iaitu Mohd Normanizam Ahmad, Mohd. Futra Abd Ghani dan Mohd. Hafizie Manap selaku regu pertama berjaya menghasilkan mata pertama.

Regu utama ini menang mudah 21-14, 21-11 ke atas lawan mereka, Mohd.Zamzee Mohd. Zainuddin, Mohd. Ariff Busu dan Afandi Abd. Rahman.Bagaimanapun, Selangor mengikat kedudukan 1-1 apabila regu Ahmad Sufi Hashim, Shahrudin Md. Ghani dan Farhan Adam menewaskan regu PDRM, Mohd. Hairul Kaz Oto, Mohd. Hasbah Abd. Rahman dan NoK Akmal Firdaus Ahmad 21-11, 21-17.Pada aksi regu ketiga, PD- RM jelas lebih bersedia apabila berjaya mengekang asakan regu ketiga Selangor.Kekentalan Hasrul Anuar Suboh, Mohd. Shaifullah Mohd. Nor dan Badrul Azli Mohd. Ghazali untuk menundukkan gandingan Mohd. Zhafran Zharif, Khairul Annuar Ibrahim dan Ariff Ramli 21-16, 21-19 bagi membolehkan PD- RM memenangi piala berprestij sepak takraw itu dan wang tunai RM5,000.Sementara itu, Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail jelas gembira dengan persembahan dan mutu permainan yang ditunjukkan oleh para pemain."Pemain-pemain kebangsaan yang turun beraksi pada tahun ini turut bermain dengan baik dan mempamerkan peningkatan walaupun baru sahaja menjalani latihan pusat kira-kira sebulan yang lalu."Malah sasaran untuk meraih pingat emas di Sukan Asia di China penghujung tahun ini adalah tidak mustahil jika bakat-bakat yang ada pada mereka terus diasah," katanya ketika ditemui pemberita selepas kejohanan itu.Ahmad berkata, keyakinan itu turut disuarakan oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong yang sempat meluangkan masa untuk menyaksikan kejohanan itu."PSM juga gembira pada tahun ini yang merupakan ulang tahun ke-50 tahun penubuhan persatuan ini, tiga lagi kategori (wanita, veteran dan belia) yang dipertandingkan turut mendapat sambutan," katanya.Sementara itu, gelaran juara bagi kategori veteran menjadi milik MBPJ 'A' yang menang 2-1 ke atas regu Kame Caterer pada perlawanan akhir kejohanan itu.Regu Selangor 'A' pula mengungguli kategori belia apabila menewaskan ATM 'B' 2-0 manakala gelaran bagi kategori wanita menjadi milik ATM 'A'.

Sunday, March 14, 2010

Chong Wei pahat 100 tahun All England


LEE Chong Wei meraikan kejayaan merangkul kejuaraan All England pada ulang tahun ke-100 kejohanan, malam tadi. - AP


BIRMINGHAM, England - Datuk Lee Chong Wei muncul perseorangan kedua Malaysia dalam tempoh 44 tahun berjaya merangkul kejuaraan badminton berprestij, All England di Birmingham semalam.

Jika pada 2003, Muhammad Hafiz Hashim menamatkan penantian 37 tahun Malaysia, kemenangan Chong Wei kali ini pula istimewa kerana ia diraih ketika kejohanan badminton tertua di dunia itu menyambut ulang tahun ke-100.

Kepuasan terpancar di wajah Chong Wei sejurus disahkan selaku juara buat kali pertama, apabila dia mencium gelanggang sebaik tamat perlawanan sebelum mendakap jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek.

Bagi Misbun pula, ini adalah kejayaan peribadi keduanya membawa pulang kejuaraan All England selaku jurulatih selepas turut bertanggungjawab membimbing Hafiz pada 2003.

"Kemenangan ini belum melengkapkan karier Chong Wei tetapi ia meningkatkan moralnya kerana sebagai pemain No. 1 dunia akhirnya Chong Wei memiliki satu kejuaraan besar.

"Bagaimanapun pada saya Chong Wei seorang pemain yang amat luar biasa, tidak ramai yang boleh memenangi tiga kejuaraan berturut-turut. Dia muncul juara di Terbuka Korea, kemudian Malaysia dan kini All England,'' kata Misbun ketika dihubungi di Birmingham.

Walaupun impian untuk menentang musuh ketat, Lin Dan di final tidak kesampaian, namun Chong Wei tetap tidak diberi laluan mudah oleh Kenichi Tago apabila dipaksa berhempas pulas oleh pemain muda Jepun itu sebelum menang 21-19, 21-19.

Jaguh No. 1 dunia itu menjadi pemain Malaysia kelima berjaya merangkul gelaran perseorangan All England selepas Wong Peng Soon, Datuk Eddy Choong, Tan Aik Huang dan Hafiz.

Koo Kien Keat-Tan Boong Heong merupakan pemain Malaysia terakhir menjuarai gelaran prestij ini dalam saingan beregu lelaki pada 2007.

Dalam perlawanan semalam, Tago mencemaskan Chong Wei apabila mendahului saingan sejak awal sehingga kedudukan 11-15, sebelum dikejar Chong Wei 15-15.

Walaupun kurang pengalaman dan skil, namun Tago, 20, terlalu liat untuk ditewaskan Chong Wei apabila memaksa pemain negara itu memegang empat mata set pada kedudukan 20-16, 20-17, 20-18 dan 20-19, sebelum akhirnya menang 21-19.

Aksi Chong Wei pada awal set kedua lebih meyakinkan apabila dia mendahului dari awal saingan, namun kesilapan yang kerap dilakukan, termasuk sering terikut-ikut permainan rali lawan menyebabkan saingan terikat 11-11, 14-14 dan 15-15.

Seperti set pertama, Tago liat untuk dijinakkan apabila memaksa Chong Wei memegang tiga mata kemenangan sebelum tunduk 19-21 selepas membiarkan saja pukulan Chong Wei yang disangka terkeluar.

Sementara itu, kejohanan All England kali ini menyaksikan banyak kejutan, bermula dengan kejayaan pemain Denmark dan juara 2008, Tine Rasmussen merampas kejuaraan perseorangan wanita dengan menumbangkan pemain No. 1 dunia dan penyandang juara, Wang Yihan 21-14, 18-21, 21-19.

Terdahulu pasangan bukan pilihan dari China, Zhang Nan-Zhao Yunlei mengejutkan pasangan No. 1 dunia, Nova Widianto-Liliyana Natsir 21-18, 23-25, 21-18 untuk muncul juara beregu campuran.