Bapa mentor saya - Rosman
KUALA LUMPUR - "Ayah adalah mentor saya, sudah tentu kehilangannya amat dirasai'. Itu kata bekas jaguh basikal trek negara, Rosman Alwi mengenai bapanya, Alwi Ahmad yang menghembuskan nafas terakhir, malam kelmarin.Menurut Rosman, bapanya merupakan seorang jurulatih yang sanggup berkhidmat secara sukarela, demi melahirkan jaguh basikal negara.Katanya, usaha gigih ayahnya terbukti berhasil, apabila beliau berjaya di peringkat antarabangsa.''Ayah seorang jurulatih yang sangat komited dalam sukan yang dicintainya.''Dia sanggup mengorban wang ringgit demi melihat anak didiknya berjaya."Ayah seorang yang tidak banyak bercakap mengenai kejayaannya. Baginya, hasil daripada usaha gigih yang telah dicurahkannya sahaja akan memberitahu semua orang mengenai apa yang telah dilakukannya," kata Rosman.
Beliau ditemui di di Kampung Datuk Keramat, di sini, semalam.Allahyarham Alwi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat, dekat sini sebelum solat Zohor.Hadir menziarahi jenazah Allahyarham ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, bekas Pesuruhjaya Sukan, Tan Sri Elyas Omar dan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Wira Mazlan Ahmad.Rosman turut berkongsi saat pahit manis ketika berlatih bersama ayahnya sehingga dia dan ayahnya dilabelkan sebagai 'anak beranak gila', lantaran terlalu banyak menghabiskan masa dengan basikal.Katanya, rumah arwah ayahnya di Kampung Datuk Keramat itu dijadikan 'kem' membentuk beberapa pelumba, termasuk dirinya sendiri."Adik saya, Ishak dan beberapa pelumba lain seperti Jaminuddin Ismail, menjadikan rumah kami sebagai kem latihan."Di sinilah kami makan, tidur, membuat persiapan basikal dan segala-galanya di sini. Ia begitu nostalgia buat kami," kata Rosman.Dalam pada itu, Mazlan yang merupakan salah seorang daripada lima orang kuat yang menubuhkan Persatuan Lumba Basikal Kuala Lumpur bersama Allahyarham, turut mengakui bahawa bukan mudah mencari pengganti seperti Alwi.
Mazlan, yang juga sahabat rapat arwah Alwi sejak zaman bujang, menyatakan usaha bekas jurulatih basikal negara itu harus menjadi teladan buat semua.Katanya, Allahyarham sanggup menghabiskan masa secara sukarela demi mendidik anak bangsa yang mahu menceburi sukan berbasikal."Pada saya, susah untuk mendapat seorang jurulatih yang sangat dedikasi dalam tugasnya seperti Alwi, yang menurunkan semua ilmu yang dimilikinya."Arwah menjadikan rumahnya seperti pusat latihan dan tempat berkumpul pelumba. Mereka melakukan segalanya di sini."Bagi saya, tidak ada ganjaran sesuai untuk menghargai jasa beliau. Semoga Tuhan sahaja yang membalas jasa baiknya itu," kata Mazlan.